Sorting by

×

MICTH BINA 145 MENARA TELEKOMUNIKASI, LONJAK PEMBANGUNAN DIGITAL NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 17 Julai – Pelaksanaan projek infrastruktur digital di Melaka menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa dan sektor industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, pelbagai perubahan positif telah dicapai.

Katanya, ia termasuk memendekkan tempoh kelulusan bagi setiap permohonan projek menara telekomunikasi dan pemasangan kabel gentian optik.

“Langkah ini amat penting dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital negeri dan telah dilaksana dengan sokongan semua pihak, diterajui oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

“Sejak pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada Ogos 2020, termasuk melalui projek komersial, sebanyak 145 menara telekomunikasi baharu berjaya dibina dan diserahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan.

Turut hadir, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Abdul Karim Fakir Ali.

Mengulas lanjut, Dr. Nazdiana berkata, dalam tempoh dua tahun bermula 2023, rangkaian gentian optik sepanjang 200 kilometer berjaya dibangunkan di daerah Alor Gajah dan Jasin melalui projek Point of Presence (PoP) di bawah Kementerian Komunikasi dan inisiatif Clawback oleh SKMM.

“Inisiatif ini adalah antara pemacu utama menjadikan Melaka sebagai negeri berdaya saing tinggi dalam sektor digital dan teknologi masa depan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post HAJAT MILIKI RUMAH IDAMAN JADI NYATA
Next post WRUR DUN DUYONG TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF