Sorting by

×

MIHF’25 SASAR 100,000 PENGUNJUNG, NILAI JUALAN RM10 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) yang berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, penganjuran MIHF’25 bukan sahaja berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara, malah turut diserikan dengan kehadiran Menteri-Menteri Agama ASEAN (MABIMS) dari Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia, selain Kemboja.

Katanya, MIHF’25 terus menjadi tumpuan apabila merekodkan kehadiran lebih 40,000 pengunjung dalam tempoh kurang dua hari penganjurannya.

“Kehadiran delegasi MABIMS membuktikan pengiktirafan penganjuran ini di peringkat serantau.

“Tahun ini kita sasarkan lebih 100,000 pengunjung dengan anggaran nilai hasil sekitar RM10 juta.

“Lebih membanggakan, festival ini menjadi wadah penting memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab industri halal antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MIHF’25 di MITC, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, MIHF’25 merupakan antara acara utama mempromosi ekonomi halal negeri berteraskan prinsip halalan toyyiban.

Tambah Ab Rauf, nilai pasaran halal global kini dianggarkan melebihi USD3 trilion, sekali gus membuka ruang luas kepada pemain industri tempatan memperkukuh jaringan perniagaan, inovasi serta teknologi halal ke peringkat antarabangsa.

“Melaka merupakan negeri kedua yang menerima pengiktirafan halal di bawah Halal Development Corporation (HDC).

“Insya-Allah, kita akan terus memperkasa industri ini termasuk melalui pelancongan mesra Muslim dan pensijilan halal untuk premis makanan di seluruh negeri,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1066
Kongsi :
Previous post KOS HAJI DIUMUM 22 OKTOBER INI
Next post MIHF’25 TAPAK BANTU USAHAWAN MAIM MENYINAR