Sorting by

×

MIHF’25 TAPAK BANTU USAHAWAN MAIM MENYINAR

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Penyertaan Usahawan Bimbingan Zakat (UBiZ) di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) memberi peluang besar kepada mereka mengetengahkan pelbagai produk makanan dan kraftangan tempatan berasaskan konsep halal dan berkualiti.

MIHF’25 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bermula 16 hingga 19 Oktober itu membuka peluang keemasan kepada usahawan asnaf dan penerima zakat di bawah bimbingan MAIM mempromosikan produk seperti kuih tradisional, makanan sejuk beku, sambal kering, minuman herba serta hasil kraftangan buatan tangan.

Usahawan bimbingan MAIM, Noraini Alifiah, 51, berasal dari Merlimau yang menjual pelbagai variasi kuih baulu di bawah jenama ‘Syaheer Bahulu’ berkata, penyertaan di MIHF’25 membuka peluang besar untuknya memperluas rangkaian pelanggan serta memperkenalkan jenama tempatan kepada pengunjung domestik dan luar negara.

“Syukur Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan hasil jualan juga meningkat. Ramai pengunjung mencuba produk kami dan ada yang membuat tempahan untuk dibawa pulang.

“Saya amat berterima kasih kepada MAIM kerana banyak membantu dari segi latihan, bimbingan dan promosi,” katanya yang dibantu suami seorang Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Shamshul Abdul Mutalib, 52.

Img 20251018 wa0077
NORAINI dan suami, Mohd Shamshul bersama produk jualan mereka kuih bahulu di bawah jenama ‘Syaheer Bahulu’ di MIHF’25, MITC.

Nada sama disuarakan, Khamisah Md Tahir, 54, usahawan kraftangan di bawah jenama ‘Intan Jelita Craft’ dari Sungai Udang yang menzahirkan rasa syukur kerana terpilih mewakili kelompok UBiZ di festival halal bertaraf antarabangsa itu.

“Bimbingan MAIM memberi kami keyakinan untuk bersaing dan di MIHF’25 ini merupakan penyertaan pertama saya. Alhamdulillah kunjungan pengunjung dan hasil jualan juga amat memberangsangkan.

“MAIM banyak memberi bantuan dan tunjuk ajar, di mana selain bantuan kewangan, kami juga diberi panduan rekaan produk, pembungkusan dan strategi pemasaran. Ini amat membantu dalam meningkatkan nilai jualan,” ujarnya yang merupakan ibu tunggal anak lima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post MIHF’25 SASAR 100,000 PENGUNJUNG, NILAI JUALAN RM10 JUTA
Next post WRUR: PENDUDUK HARAP JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG SIAP LEBIH AWAL