Sorting by

×

MIMBJ 2025 ANGKAT MELAKA DESTINASI SUKAN LASAK

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

RIM 18 Oktober – Penganjuran Melaka International Mountain Bike Jamboree (MIMBJ) 2025 berjaya meletakkan Melaka sebagai destinasi sukan lasak di negara ini selepas berjaya menghimpunkan lebih 700 penyertaan dari sekitar Malaysia dan luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran MIMBJ 2025 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari sebahagian besar komuniti sukan lasak Mountain Bike.

“Rentetan kejayaan membanggakan pada edisi lepas telah membuktikan bahawa trek berbasikal di Taman Ekstrem Tasik Chinchin bukan calang-calang. Ia berpotensi besar diangkat ke peringkat antarabangsa, sekali gus melonjakkan Melaka sebagai destinasi tumpuan bagi sukan dan rekreasi lasak ke tahap tertinggi.

“Jika kita melihat ke luar negara, banyak penganjuran Mountain Bike Jamboree yang bermula sebagai acara komuniti, tetapi kini diiktiraf peringkat dunia, antaranya Cape Epic di Afrika Selatan, Crankworx di New Zealand serta Swiss Epic di Switzerland,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Melaka International Mountain Bike Jamboree 2025, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khadhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menilai semula keupayaan MIMBJ, sekali gus menjadikannya sebagai program tahunan rasmi di negara ini.

“Saya mengalu-alukan pertimbangan KBS untuk mengiktiraf MIMBJ sebagai acara tahunan rasmi, memandangkan kejayaannya menarik penyertaan antarabangsa dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Untuk makluman, acara ini telah diangkat sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri Melaka. Ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan Melaka bukan sahaja destinasi sejarah, tetapi destinasi masa depan pelancongan sukan,” katanya.

Untuk rekod, MIMBJ 2025 merupakan penganjuran edisi kedua selepas kali pertama dianjurkan pada tahun lepas.

Pada edisi pertama, MIMBJ merekodkan lebih 500 penyertaan, manakala untuk edisi kedua pada tahun ini berjaya merekodkan lebih 700 penyertaan dari dalam serta luar negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post BALAI ISLAM DIBINA DI KAMPUNG PULAU
Next post KAMPUNG ANGKAT MABIMS: PENGHORMATAN BUAT KAMPUNG PULAU