Sorting by

×

MIMBJ 2025 BERJAYA TARIK LEBIH BANYAK PASUKAN MTB

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

RIM, 19 Oktober – Melaka International Mountain Bike Jamboree (MIMBJ) 2025 berjaya menarik lebih banyak penyertaan pasukan Mountain Bike (MTB) dari seluruh negara berbanding penganjuran pertamanya pada tahun lepas.

Dianjurkan oleh Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), penglibatan orang muda daripada segi penyertaan dan mengurus program bertaraf antarabangsa itu amat membanggakan, sekali gus meletakkan MIMBJ gah dalam arena sukan berbasikal negara.

Presiden MGBM, Datuk Khadhirah Abu Zahar berkata bagi penganjuran kali ini, pihaknya memfokuskan kepada sukan lasak MTB tanpa membabitkan sebarang acara selingan lain.

“MIMBJ pada penganjuran pertamanya tahun lepas menyaksikan penyertaan peserta beberapa negeri hanya menghantar wakil sahaja tetapi tahun ini mereka menghantar lebih banyak pasukan.

“Pada masa yang sama, peranan belia menerusi MGBM membuktikan kemampuan mengurus serta penyertaan amat membanggakan di program bertaraf antarabangsa ini.

“Alhamdulillah jumlah penyertaan kali ini semakin ramai dan apa yang lebih mustahak ialah momentum keberkesanan penganjuran serta sokongan Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Melaka International Mountain Bike Jamboree 2025 yang dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Taman Ekstrem Tasik Chin Chin di sini, semalam.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Datuk VP Shanmugam dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Rim memberitahu beliau berharap pihak KBS dapat menjadikan program ini sebagai acara tahunan secara rasmi bagi menarik lebih banyak penyertaan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan negeri ini.

“Penganjuran kali ini menyaksikan jumlah penyertaan yang amat memberangsangkan. iaitu lebih 700 peserta berbanding lebih 500 peserta pada tahun lepas.

“Ditambah pula penyertaan peserta dari luar negara iaitu Filipina dan Indonesia, sekali gus memberi nilai tambah buat program ini yang mampu melonjakkan sektor pelancongan sukan negeri ini serta limpahan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post WRUR SELESAI 1,293 ADUAN, BUKTI MELAKA CAKNA DENYUT NADI RAKYAT
Next post SANTUNI ANAK YATIM MISKIN AGENDA UTAMA MABIMS