
MINAT MAIN DAM BAWA TUAH, AHCHAI RANGKUL KEMENANGAN BERGANDA
AYER KEROH 15 Disember – Bermula dengan minat bermain dam aji dan menjadikannya sebagai hobi, tuah berganda menyelebahi Ng Hock Chai apabila berjaya merangkul dua gelaran juara dalam pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2025.
Dia yang ingin lebih dikenali sebagai Achai mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, dinobatkan sebagai Juara Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung 13 Disember serta Kategori Terbuka pada 14 Disember di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bagi edisi tahun ini.
Hasil kejayaan tersebut, dia berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM50,000, termasuk sebuah Perodua Axia sebagai hadiah utama.
Achai, 41, tahun yang juga anak jati Tangga Batu, Pantai Kundor menyifatkan kemenangan itu sebagai detik yang amat menggembirakan dan membanggakan.
“Saya berasa sangat gembira dan teruja. Terima kasih banyak-banyak kepada semua terutamanya Ketua Menteri Melaka yang menganjurkan sukan tradisi ini.
“Saya hanya menganggap dam aji ini sebagai hobi dan minat. Kebiasaannya saya bermain ketika waktu lapang sahaja dan tidak merancang sebarang strategi. Jadi saya tidak menyangka boleh menjadi juara,” katanya.
Dalam pada itu, Achai turut berpandangan permainan tradisi ini berfungsi sebagai medium perpaduan rakyat yang menyatukan masyarakat.
“Yang penting saya dapat berjumpa dan bermain bersama rakan-rakan. Pertandingan ini sangat baik untuk mengeratkan lagi hubungan sesama rakyat.
Selaku pemenang peringkat Negeri Melaka, dia turut berhasrat untuk menyertai edisi tahun hadapan dan menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan.
Hadiah kepada pemenang disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut menyaksikan perlawanan akhir, pada 14 Disember lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


