Sorting by

×

MINDEF PASTIKAN PEMBEKUAN PEROLEHAN TIDAK JEJAS OPERASI ATM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI UDANG 26 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan berunding dengan kerajaan bagi memastikan pembekuan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjejaskan operasi kritikal atau kebajikan anggota tentera.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kementerian memahami rasional pembekuan tersebut termasuk bagi menambah baik sistem dan proses perolehan.

“Tetapi mana-mana yang kita rasakan boleh menjejaskan operasi, maka seperti yang diucapkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kementerian boleh kemukakan untuk kita runding supaya perolehan-perolehan itu boleh dijalankan.

“Kita percaya perkara-perkara yang melibatkan soal kesejahteraan, beberapa (perolehan) wajar kita teruskan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan pembekuan sementara perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan diteruskan bagi memastikan urusan perolehan dilaksanakan secara telus, berintegriti serta berlandaskan kepentingan negara.

Beliau menegaskan, langkah tersebut selari dengan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang menekankan keperluan tadbir urus serta tatakelola baik dalam semua keputusan perolehan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK SIAP 3 TAHUN LAGI
Next post RM44 JUTA TANGANI ISU BEKALAN AIR KEM TERENDAK