Sorting by

×

MINDEF PERUNTUK RM850,000 LAKSANA 17 PROJEK JIWA MADANI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 27 Januari – Kementeri Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM850,000 bagi melaksanakan 17 Projek Jiwa Madani di Negeri Melaka sepanjang tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Jiwa Madani berkonsepkan pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada komuniti, di mana ia dilaksanakan secara bergotong-royong di antara Angkatan Tentera Malaysia bersama penduduk.

Jelas beliau, projek pertama yang menerima manfaat MINDEF di Melaka pada tahun ini adalah membina baharu pagar di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan, Kampung Cheng melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000.

“Jiwa Madani atau saya panggil sebagai Jiwa Murni Madani ini merupakan antara komponen penting yang dirancang bagi menjayakan kerjasama di antara tentera dan orang awam.

“Menerusi program ini, pihak kementerian akan mengenal pasti kampung-kampung atau kawasan-kawasan tertentu yang memerlukan bantuan dan kita akan menyalurkan sumbangan untuk kesejahteraan masyarakat di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Jiwa Madani (PJM) Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Masjid An-Najwan, Cheng, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Mohamed Khaled, program itu bukan sahaja dapat menonjolkan imej prihatin warga ATM kepada masyarakat, bahkan pada masa sama, ia juga dapat memupuk kerjasama erat di antara tentera dan orang awam untuk bersama-sama menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Kerjasama itu, ujar beliau, amat penting memandangkan rakyat di negara ini juga perlu mempunyai peranan secara bersama dalam menjaga keselamatan tanah air.

“Peranan ini perlu dibudayakan dan masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada ATM, manakala di pihak ATM pula kita sedar bahawa tanggungjawab yang diamanahkan juga memerlukan penyertaan daripada rakyat.

“Jadi, ini antara usaha kita untuk melaksanakan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) atau kerjasama awam dan tentera dalam bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post KPDN MELAKA JALANKAN 31,193 PEMERIKSAAN SEPANJANG TAHUN 2025
Next post MINDEF ALU-ALUKAN SEMUA NEGERI JAYAKAN ‘HANRUH’