
‘MINI AMAZON’ SUNGAI LINGGI LAIN DARI YANG LAIN
AYER KEROH 26 Mei – Beberapa tarikan baharu akan diperkenalkan di Sungai Linggi yang dikenali sebagai ‘Mini Amazon’ Melaka sekali gus bakal memperkasa dan memangkin pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara produk baharu yang akan diperkenalkan adalah Eco Cruise Sungai Linggi, yang dijangka bermula 1 September depan.
Jelas beliau, produk itu menawarkan pakej terbaharu menelusuri keindahan alam semula jadi di Sungai Linggi dengan bot berkonsepkan klasik.
Menurut Ketua Menteri, menerusi tarikan terbaharu tersebut, ia akan membolehkan pengunjung menikmati pelayaran selama satu jam dari muara Sungai Linggi ke Jeti Telok Berembang, selain turut menyediakan pakej makan tengah hari di dalam bot.
“Setakat ini, semua kelulusan telah diperolehi termasuklah sijil operasi, selain bot berkenaan juga telah berupaya menjadi bot pengangkutan untuk pelancong.
“Tarikan baharu ini tidak sama dengan ‘cruise’ lain yang ditawarkan kerana ia turut dilengkapi pakej makanan kepada pengunjung di dalam satu pakej khas yang disediakan.
“Jadi, sama-sama kita nantikan dan saya yakin bahawa tarikan baharu ini akan dapat menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Negeri Melaka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, selain Sungai Linggi Eco Tourism, PPSPM juga bakal memperkenalkan pelbagai produk pelancongan baharu, antaranya Melaka Sea Cruise yang menawarkan pakej Island Hopping dan Snorkeling; Premium Cruise serta Kafe Terapung Mendam Berahi.
Pada masa sama, ujar beliau, dua lagi produk baharu di bawah PPSPM akan diperkenalkan di daerah Jasin iaitu Pembangunan Eco Cruise Sungai Rambai dan perkhidmatan bot di Tasik Chincin, Jasin.
“Selain itu, PPSPM juga akan menganjurkan cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta melalui pembelian tiket bernilai RM50 ke atas untuk Cruise MADANI yang akan diumumkan pada Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.