
MIP BUKA 500 PELUANG PEKERJAAN UNTUK ANAK MELAKA
SERI NEGERI 21 Julai – Sebanyak 500 peluang pekerjaan bakal dibuka kepada anak Melaka menerusi pembinaan Melaka Inland Port (MIP) atau Pelabuhan Darat Melaka di mukim Taboh Naning.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah tersebut ia membabitkan sebanyak 290 peluang pekerjaan berteknologi tinggi atau TVET dan bakinya adalah dalam sektor profesional seperti pentadbiran dan lain-lain lagi.
“Antara bidang pekerjaan yang dibuka adalah seperti Kejuruteraan Rel, Operasi Terminal, Teknologi Maklumat dan Logistik serta Penyelenggaraan Dan Automasi.
“Pihak syarikat telah pun mendapatkan kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan di Negeri Melaka bagi menyediakan latihan dan kemahiran bagi memenuhi permintaan tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hari pertama Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, Fasa 1 MIP dijangka akan mula beroperasi pada Oktober 2026 dengan kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah RM230.8 juta selepas perjanjiannya dimeterai Perbadanan Melaka (MCORP) bersama Syarikat DS Rail Mobility Sdn. Bhd pada 13 Jun 2025.
Jelas beliau, antara komponen pembangunan projek bagi fasa pertama itu adalah Spur Line to KTMB Main Line, Gudang tertutup, Container Yard, Depot Services, pusat pemeriksaan Kastam dan bangunan pejabat operasi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.