Sorting by

×

MISI BESAR SYAHIR BERSAMA MELAKA TITANS

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 27 Mei – Tempoh masa terhad tidak menghalang tekong Melaka Titans, Syahir Rosdi untuk membentuk keserasian bersama dengan pemain import Thailand yang akan turun beraksi dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1, musim ini.

Menurut tekong kebangsaan itu, keserasian terutamanya dengan Yodsanon Laemthaisong penting bagi memastikan setiap servis dapat disempurnakan dengan baik.

“Untuk mencari keserasian antara saya dan Zaim (Muhammad Zaim Razali) agak mudah kerana kami pernah bermain bersama begitu juga dengan Azlan (Mohamad Azlan Alias) tetapi dengan pemain import Thailand agar sukar.

“Keserasian amat penting kerana kita perlu faham cara balingannya namun begitu dengan masa yang ada ini kami akan cuba dapatkan keserasian itu.

“Dari segi komunikasi ia tidak jadi masalah kerana saya sendiri sebelum ini pernah berlatih di Thailand, jadi secara tidak langsung ia dapat membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga STL 2025 oleh Yang Dipertua Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz, di Balai Raya Baruh Alai, di sini, kelmarin.

Menurut Syahir, bagi memastikan Melaka Titans berjaya menempatkan diri secara automatik ke Divisyen Premier, dia bersama barisan pemain yang lain bersedia memberikan aksi terbaik.

“Meskipun saya lihat beberapa pasukan seperti Kedah, Pahang dan Sabah akan menjadi pesaing dalam Divisyen 1 ini, namun kami tidak gentar.

“Harapan kami adalah dapat masuk ke final dan secara automatik dapat naik ke Divisyen Premier STL untuk kami akan berjuang habis-habisan sekali gus kembali mendominasi arena sepak takraw,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post SENI BATIK IMEJ KORPORAT BAHARU PPSPM
Next post IMUNISASI BAYI, KANAK-KANAK DI MELAKA CAPAI LEBIH 98 PERATUS TAHUN LALU