
MOHD FAUZI ‘SEGARKAN’ SENI BUDAYA MELAKA DALAM LAGU
KLEBANG 1 Januari – Komposer lagu Senandung Anak Melaka, Mohd Fauzi Mohamad meluahkan rasa terharu apabila sumbangannya dalam bidang seni dihargai Kerajaan Negeri Melaka.
Ia selepas beliau menerima Anugerah Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam tadi.
Beliau mengakui pengiktirafan itu membawa makna cukup besar dalam kariernya selama ini, lebih-lebih lagi apabila lagu ikonik ciptaannya itu menjadi siulan di negeri bersejarah.
Malah, beliau juga menyifatkan anugerah itu sebagai pembakar semangat untuknya terus menghasilkan karya berteraskan budaya tradisional bagi memastikan seni muzik warisan Melaka kekal relevan dan dekat dengan generasi masa kini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta semua pihak yang sentiasa memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dan mengangkat seni budaya Melaka ke peringkat yang lebih dikenali.
“Penganugerahan ini amat bermakna kerana dapat dikongsi bersama ibu, isteri dan anak-anak yang menjadi kekuatan sepanjang perjalanan karier seni saya,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, anugerah itu telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam bidang seni, Mohd Fauzi menerima wang tunai RM80,000 serta Sijil Anugerah Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan produksi serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lagu Senandung Anak Melaka, termasuk penyanyinya Yasser Fikri.
Beliau turut memaklumkan sebuah lagi lagu khas untuk Negeri Melaka sedang dalam pembikinan menerusi kolaborasi bersama Yasser Fikri serta beberapa penyanyi lain.
Pada masa sama, beliau juga bakal melancarkan sebuah ‘single’ baharu yang akan dinyanyikan oleh Ernie Zakri pada Ogos 2026.
“Pendekatan kolaborasi bersama artis-artis ternama akan terus diperkasakan bagi memastikan seni muzik tradisional Melaka kekal segar, relevan dan diminati semua lapisan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


