
MPAG AGIH LEBIH 2,000 BUNGKUS BUBUR LAMBUK
LENDU 27 Februari – Lebih 2,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai pada Program Imarah Ramadan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2026 Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di hadapan Balai Bomba Masjid Tanah, semalam.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif MPAG menyemarakkan Ramadan bersama agensi-agensi Kerajaan di negeri ini.
Katanya, inisiatif itu diharap dapat terus menyemai semangat kebersamaan dan budaya bersedekah sepanjang bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengagihkan lebih 2,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai pada petang ini hasil kerjasama semua pihak termasuk pihak penaja,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Program yang bermula seawal jam 4 petang itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


