Sorting by

×

MPAG BAKAL NAIK TARAF TAMAN REKREASI POH AH TIAM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 22 Januari – Taman Rekreasi Poh Ah Tiam, Machap Baru dicadang dinaik taraf sebagai taman bandaran bagi memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk setempat, sekali gus menyediakan tarikan rekreasi lebih berkualiti untuk komuniti.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan bagi meneliti cadangan menaik taraf taman berkenaan agar lebih berfungsi, selesa dan mesra komuniti.

Menurutnya, usaha itu bertujuan menjadikan lokasi berkenaan sebagai salah satu taman bandaran yang lengkap dengan kemudahan awam berkualiti, selain sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu jadikan Taman Rekreasi Poh Ah Tiam sebagai taman bandaran yang benar-benar berfungsi kepada penduduk sekitar dan juga boleh dikunjungi orang ramai untuk menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2026 01 20 at 12.28.41 pm
SAIFUDDIN dan Hee Sem semasa mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Poh Ah Tiam pada 14 Januari.

Beliau berkata, pihak MPAG akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan menaik taraf kawasan rekreasi tersebut.

“Antara kemudahan sedia ada seperti gazebo dan alat permainan akan ditambah baik selain menaik taraf tandas awam serta kemudahan lain bagi memastikan keselesaan pengunjung.

“Kita akan melihat semua aspek kemudahan supaya taman ini benar-benar menjadi ruang rekreasi bandar yang mesra keluarga, selamat dan kondusif,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan ke taman rekreasi berkenaan bersama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem pada 14 Januari lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post 60,000 ‘HEALING’ DI TANJUNG TUAN
Next post MELAKA TERUS SUBURKAN BUDAYA CINTAI AL-QURAN