Sorting by

×

MPAG DEKAT DI HATI, SEJAHTERAKAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

LENDU 21 Mei – Inisiatif prihatin dan cakna kebajikan rakyat dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka, diharap dapat diperluas serta diperkukuhkan lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, penglibatan PBT secara aktif juga secara tidak langsung mampu memastikan lebih ramai golongan memerlukan di negeri ini dapat dibantu secara menyeluruh serta berterusan.

Katanya, bersempena penganjuran inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, turut berlangsung Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2025.

Ab Rauf berkata, menerusi program itu MPAG melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, penggantian peralatan elektrik asas dan pembersihan melibatkan dua buah kediaman selain menghulurkan bantuan kepada 11 penerima dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas selain pesakit terlantar sekitar DUN Lendu.

“Langkah ini merupakan usaha konkrit Kerajaan Negeri dalam meringankan beban dan memperbaiki kualiti kehidupan penerima bantuan, sekali gus menyuntik semangat serta harapan baharu buat rakyat Melaka yang terpilih.

“Usaha ini juga selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Melaka yang menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong sepenuhnya penganjuran program kemasyarakatan seumpama ini yang berperanan memperkasa kebajikan rakyat selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin pada Program Masyarakat Di Hati Majlis MPAG 2025 di Kampung Bukit Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Yang Dipertua MPAG,  TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, Ketua Ahli Majlis MPAG, Ghafar Ngah; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan MPAG.

Menurutnya, program berkenaan adalah antara inisiatif penting penganjuran WRUR peringkat DUN Lendu bertujuan memastikan setiap bantuan dan perhatian sampai tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memberi bantuan jangka pendek dan merangka pembangunan sosial yang inklusif serta menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

“Selayaknya, mewakili Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga MPAG, pihak Japerun Lendu, komuniti setempat serta semua pihak yang terlibat dalam menyumbang tenaga, masa selain idea bagi merealisasikan program yang cukup bermakna ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1121
Kongsi :
Previous post MELAKA PERGIAT USAHA TARIK MINAT PELAJAR PILIH BIDANG STEM, TVET
Next post LANGKAH BERSASAR ATASI MASALAH BANJIR DUN LENDU