Sorting by

×

MPAG DIDIK KOMUNITI AMAL KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 19 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) komited memperkasa amalan kitar semula dalam komuniti menerusi penganjuran Program Kitar Semula Trash To Cash.

Program berkenaan merupakan inisiatif berterusan yang dianjurkan MPAG sebanyak empat kali setahun bagi menggalakkan warga Alor Gajah dan Masjid Tanah membudayakan amalan kitar semula demi kelestarian alam.

Menurut Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim, pada program edisi ketiga yang diadakan di Dataran Keris Alor Gajah, baru-baru ini, sejumlah 5,856 kilogram (kg) barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan.

Jelas beliau, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai seramai 250 penduduk setempat yang menghantar pelbagai jenis barangan terpakai yang boleh dikitar semula dan ditukar menjadi wang tunai.

“Antara barangan kitar semula tertinggi diterima adalah minyak masak terpakai iaitu sebanyak 1,700kg, diikuti sisa fabrik sebanyak 1,279kg dan e-waste berjumlah 894kg.

“Selain itu, sisa 3R seperti tin aluminium, botol, plastik, kotak dan lain-lain adalah berjumlah 1,901kg, selain turut diadakan program pemuliaan al-Quran di mana sebanyak 85 naskhah al-Quran lama telah ditukar kepada yang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, secara keseluruhan sejumlah RM6,132 telah dibayar kepada penduduk yang menyertai program berkenaan mengikut kategori barangan kitar semula yang dihantar.

Jelas beliau, bagi minyak masak terpakai, ia membabitkan bayaran RM2.80-RM3.00 setiap kg, manakala barangan 3R (RM0.05-RM0.50 per kg), e-waste (0.30 per kg) dan fabrik RM0.05 per kg.

“Insya-Allah, selepas ini, program kitar semula edisi terakhir bagi tahun ini akan diadakan di Bandar Masjid Tanah dan maklumat lanjut mengenai program ini akan disiarkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial MPAG,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

360
Kongsi :
Previous post ‘RIUH’ DI TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT
Next post UPTOWN TUN TEJA RANCAKKAN AKTIVITI PERNIAGAAN