Sorting by

×

MPAG GALAK TAMAN PERUMAHAN BANGUNKAN KEBUN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ALOR GAJAH 18 Mei – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menggalakkan penduduk di taman perumahan memanfaatkan kawasan tanah lapang untuk membangunkan projek kebun komuniti.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, projek pertanian bandar itu wajar diperkasa di sekitar Alor Gajah, bukan sahaja dalam membantu menambah pendapatan sampingan buat penduduk, bahkan menyumbang kepada pengurangan karbon melalui penghijauan kawasan.

Menurut beliau, MPAG selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia untuk membantu dalam pelbagai aspek termasuklah penyediaan dan pemilihan tapak, selain bimbingan serta latihan bersama Pejabat Pertanian Alor Gajah.

“Kita sememangnya menggalakkan penduduk memanfaatkan tanah lapang, tanah rizab atau kawasan kosong dalam taman perumahan untuk projek kebun komuniti ini.

“Namun, komuniti di sesebuah kawasan itu disaran untuk mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada MPAG supaya projek yang dibangunkan mematuhi garis panduan dan tidak melanggar undang-undang kecil PBT seperti penggunaan tanah tanpa kebenaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut TPr. Saifuddin, projek pertanian seumpanya terbukti membawa impak positif apabila satu daripada tapak Kebun Kejiranan Bandar @ Urban Farming di Taman Seri Bayu 2 & 3 Alor Gajah bakal dicalonkan bagi Anugerah MYPLACE Awards 2025 oleh MPAG.

Jelas beliau, pencalonan itu berdasarkan beberapa kriteria, antaranya ia merupakan taman perumahan pertama yang berkolaborasi secara rapat dengan MPAG dan Pejabat Pertanian Alor Gajah, selain sokongan komuniti serta komitmen tinggi daripada komuniti taman berkenaan dalam menjayakan projek tersebut.

“Antara kerjasama di antara komuniti taman dengan MPAG dan Pejabat Pertanian adalah tanaman fertigasi sayur salad dan tomato.

“Pada masa, komuniti ini turut mengusahakan cendawan tiram kelabu, semaian anak pokok cili, terung bulat, terung panjang dan bendi, di mana anak pokoknya dijual di dalam polibeg, selain tanah baja yang diproses turut dijual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1637
Kongsi :
Previous post BERAS MELAKA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI JAMIN BEKALAN BERAS MURAH UNTUK RAKYAT
Next post EMPAT PROGRAM BESAR PERINGKAT NEGERI BERSEMPENA WRUR DUN SUNGAI UDANG