Sorting by

×

MPAG KUMPUL 3.4 TAN BARANGAN KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

ALOR GAJAH 21 November – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus komited dalam membudayakan amalan kitar semula menerusi penganjuran program Kitar Semula Pandu Lalu memasuki edisi keempat.

Bertemakan ‘Jangan Buang, Kitar Semula’ program berlangsung di Pekan Masjid Tanah itu mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan komuniti setempat.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, dalam tempoh kira-kira empat jam program berlangsung sebanyak 3.4 tan barangan kitar semula berjaya dikumpul.

“Program ini membantu memudahkan masyarakat apabila mereka hanya perlu singgah dan menghantar barangan kitar semula yang dikumpul.

“Selain minyak masak terpakai, sisa fabrik, kaca, plastik dan sisa elektronik (e-waste) pada program ini turut disedia kaunter khas bagi pelupusan al-Quran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, program itu turut membabitkan kerjasama beberapa agensi termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka.

“Menerusi program ini ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan 3R, sekali gus membantu kepada pengurangan sisa di tapak pelupusan.

“Justeru itu, di pihak MPAG kami amat menggalakkan masyarakat setempat untuk terus menyokong usaha yang dilaksanakan ini bagi memastikan persekitaran lebih bersih serta lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUSKAN TRADISI SAMBUT PESERTA RXZ MEMBERS