Sorting by

×

MPAG MAHU LAHIRKAN PENGGUNA PEKA ANCAMAN SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

REMBIA 15 Oktober – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berhasrat melahirkan masyarakat dan warga kerja yang lebih peka terhadap ancaman siber serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital masa kini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, komitmen itu dizahirkan melalui penganjuran Hari Kesedaran Keselamatan ICT MPAG 2025.

Katanya, program tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman dan kesedaran terhadap keselamatan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan MPAG dan komuniti setempat.

“MPAG sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan ICT melalui dasar, latihan dan sistem yang berdaya tahan, seiring dengan kemajuan teknologi semasa.

“Kemajuan tanpa keselamatan bukanlah kemajuan sebenar kerana ia membuka ruang kepada kelemahan yang boleh menjejaskan kepercayaan dan integriti organisasi.

“Program seperti ini penting untuk mendidik masyarakat supaya lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi serta kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Kesedaran Keselamatan ICT MPAG Tahun 2025 di Dewan Bougainvilla MPAG, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam turut mengingatkan bahawa dalam era teknologi masa kini, pelbagai ancaman siber seperti serangan malware, e-mel palsu dan kecurian data boleh berlaku hanya dengan kecuaian satu klik.

Ujarnya, setiap individu sama ada penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi mahupun pelajar sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan maklumat sentiasa terpelihara.

“Gunakanlah teknologi bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sebagai alat pembelajaran, inovasi dan kebaikan. Jadilah generasi celik digital yang bijak menilai dan tidak mudah diperdaya.

“Penganjuran program ini juga menjadi platform terbaik bagi memperkukuh budaya penggunaan teknologi yang beretika serta memastikan sistem pentadbiran tempatan kekal cekap, selamat dan berintegriti.

“Usaha ini mencerminkan kesungguhan MPAG untuk melangkah seiring dengan arus pendigitalan sambil memastikan keselamatan dan kecekapan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post PESAKIT KANSER TERLANTAR TERHARU TERIMA BANTUAN MAIM
Next post PMR 2025 MELAKA: 6 TAPAK PARKIR UNTUK PENGUNJUNG, KENDERAAN PERANTARA DISEDIAKAN