
MPAG MAHU SENTIASA DEKAT DI HATI RAKYAT
ALOR GAJAH 30 Januari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memberikan keutamaan menyelesaikan permintaan atau keperluan rakyat terutama sepanjang tempoh penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, komitmen itu secara tidak langsung membantu menyediakan persekitaran yang lebih mampan dan meningkatkan lagi tahap kualiti kehidupan rakyat.
TPr. Saifuddin berkata, pendekatan itu juga selaras matlamat WRUR untuk mendekati rakyat, mendengar suara mereka serta memastikan penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus dipertingkatkan.
“Contoh selepas ini dijadualkan berlangsung WRUR di DUN Gadek dan Machap Jaya, susulan itu kami akan memberikan tumpuan di dua kawasan berkenaan, khusus melibatkan permintaan penduduk tempatan.
“Sudah pasti pembangunan yang akan dilaksanakan akan meningkatkan keselesaan dan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Pentadbiran MPAG yang turut dihadiri Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, di Dewan Bougainvilla MPAG, pada Rabu.
Menurut Saifuddin, MPAG akan menyemak semula setiap aduan yang diterima sebelum tindakan susulan diambil, sekali gus memadamkan keresahan penduduk tempatan.
“Sebarang aduan diterima, kami akan semak semula untuk tindakan lebih terperinci selain melihat keutamaan sesuatu keperluan atau permintaan yang disuarakan.
“Jika ada yang memerlukan peruntukan MPAG akan cuba usahakan agar tindakan dapat dilakukan segera sama ada ia membabitkan peringkat majlis atau persekutuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


