
MPAG SUSUN TIGA PROGRAM KOMUNITI MENERUSI INISIATIF ‘KAMPUNG KITA’
ALOR GAJAH 12 April – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan melaksanakan tiga program utama sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Gadek.
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pihaknya memainkan peranan bekerjasama dengan agensi pelaksana utama serta pihak berkaitan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan secara berkesan di lapangan.
Menurutnya, sebanyak tiga program dirancang di bawah pelaksanaan MPAG membabitkan kedua-dua kawasan berkenaan iaitu Program Masyarakat Di Hati MPAG di DUN Gadek, Program Masyarakat Di Hati MPAG di DUN Machap Jaya serta Program Gotong-Royong MPAG di DUN Machap Jaya.
“Ketiga-tiga program ini memberi tumpuan kepada aktiviti komuniti dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi Program Masyarakat Di Hati MPAG, ia merangkumi penyampaian bantuan kebajikan kepada golongan sasaran selain khidmat komuniti serta interaksi secara langsung bersama penduduk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, Program Gotong-Royong MPAG pula melibatkan aktiviti pembersihan kawasan taman rekreasi dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi, komuniti dan pelajar secara kolektif.
“Pelaksanaan program ini disasarkan mampu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat khususnya dari aspek kebajikan serta kemudahan asas di kawasan terlibat.
“Selain itu, ia juga menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam pembangunan setempat sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


