
MPAG TAWAR DISKAUN, GALAK ORANG RAMAI JELASKAN KOMPAUN TERTUNGGAK
ALOR GAJAH 16 Disember – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) merekodkan sebanyak 12,030 kompaun tertunggak dengan nilai keseluruhan RM1.27 juta bagi tempoh Januari hingga November 2025.
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan rekod sebanyak 10,857 kompaun dikeluarkan atas kesalahan parkir melibatkan nilai RM985,130 yang masih belum dijelaskan.
Katanya, sementara itu bagi tempoh sama sebanyak 1,173 kompaun berjumlah RM293,250 pula dikeluarkan atas pelbagai kesalahan juga masih belum dijelaskan pihak berkenaan.
Jelasnya, sehubungan itu MPAG menjalankan Promosi Bayaran Tunggakan Kompaun MPAG dari 10 hingga 24 Disember 2025 sebagai langkah proaktif meningkatkan kadar kutipan kompaun tertunggak.
“Pelaksanaan promosi diskaun kompaun parkir dan kompaun pelbagai kesalahan bertujuan menggalakkan orang ramai menjelaskan kompaun tertunggak secara sukarela.
“Ini sekali gus mengurangkan jumlah tunggakan lama dan meningkatkan kadar kutipan secara keseluruhan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, sepanjang tempoh promosi orang ramai boleh membuat pembayaran secara dalam talian menggunakan platform MPAGPay atau berurusan di kaunter MPAG, kaunter cawangan, kaunter pandu lalu selain UTC Melaka.
“Promosi ini mungkin diteruskan pada masa hadapan, namun ia bergantung kepada keperluan semasa, prestasi kutipan serta pertimbangan serta kelulusan pihak pengurusan MPAG,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak masih gagal menjelaskan kompaun selepas tamat tempoh promosi, khususnya kes berlarutan sebelum tahun 2024.
“Antara langkah susulan akan dilaksanakan termasuk kutipan tunggakan melalui Unit Task Force, pengeluaran surat peringatan, notis peringatan serta tindakan pengaduan dan pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan disiplin pembayaran kompaun dalam kalangan orang awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


