Sorting by

×

MPHTJ KELUAR LEBIH 3,000 KOMPAUN PELBAGAI KESALAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT KATIL 15 Disember – Sebanyak 3,058 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi tempoh Januari hingga 5 November lalu.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, kompaun itu dikeluarkan hasil daripada tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan rutin dijalankan pihaknya.

Sapiah berkata, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah melakukan ubah suai tanpa kebenaran dan menutup longkang tanpa kebenaran dengan 2,024 kompaun.

“Sementara itu 679 kompaun melibatkan isu kebersihan dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred MPHTJ 2010.

“Manakala 133 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pasar-Pasar MPHTJ 2012 terhadap peniaga yang didapati gagal mengikut syarat lesen ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Hari Aduan Rakyat Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Melaka Mall, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Sapiah, penguatkuasaan dijalankan pihaknya secara berperingkat bermula dengan teguran lisan sebelum tindakan kompaun dikeluarkan sekiranya peniaga atau pemilik premis masih ingkar terhadap peringatan diberikan.

“Sekiranya kita dapati mereka masih masih gagal mematuhi syarat lesen selain kompaun tindakan menarik balik lesen atau permit boleh diambil.

“Tidak dinafikan ada antara premis yang dikesan melakukan kesalahan berulang selain itu setiap satu kompaun dikeluarkan nilainya boleh mencecah RM1,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post ‘MUSEUM FUN WALK’ PUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
Next post KAMPUNG FELDA TUN GHAFFAR AIR KANGKONG TERIMA ENAM PROJEK PEMBANGUNAN KOMUNITI