Sorting by

×

MPHTJ SEDIA 10 TAPAK PASAR RAMADAN, DUA BAZAR AIDILFITRI 2026

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 16 Januari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyediakan sebanyak 10 tapak pasar Ramadan dan dua tapak bazar Aidilfitri sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun 2026.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pasar Ramadan melibatkan seramai 625 peniaga, manakala Bazar Aidilfitri pula membabitkan 200 peniaga.

Menurutnya, kesemua tapak berkenaan telah diiklankan dan mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri, manakala pihak penganjur kini dalam proses mengumpul maklumat peniaga yang berjaya.

“Pihak MPHTJ akan memanggil semua penganjur dan peniaga yang terpilih untuk menghadiri sesi taklimat khas dalam masa terdekat supaya mereka jelas tentang peraturan, perkara dibenarkan dan tidak dibenarkan sepanjang operasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Amanat Tahun 2026 di Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas mengenai pembaharuan tahun ini, Sapiah memaklumkan bahawa bazar Aidilfitri akan diadakan di dua lokasi iaitu di Kompleks Melaka Mall dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Sebelum ini bazar Aidilfitri hanya diadakan di MITC, namun tahun ini kita tambah satu lagi lokasi di Melaka Mall sebagai pembaharuan kepada penganjuran bazar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua peniaga dan pembantu gerai makanan supaya mendapatkan suntikan tifoid sebelum memulakan operasi perniagaan.

“MPHTJ akan turun padang pada hari pertama operasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memastikan semua peniaga makanan telah mendapatkan suntikan tifoid. Perkara ini penting kerana melibatkan aspek keselamatan makanan dan kesihatan orang ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post PENGANJURAN PELBAGAI PROGRAM PELANCONGAN RANCAKKAN JUALAN KRAFTANGAN