
MPHTJ SEDIAKAN FASILITI BERKUALITI, SOKONG PERKEMBANGAN USAHAWAN
AYER KEROH 14 Februari – Pembangunan terancang, ruang komersial yang lengkap dan disokong pelbagai fasiliti asas menjadikan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sebagai lokasi amat kompetitif serta sesuai bagi menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, terbaharu sebuah premis makanan berkonsepkan kafe memulakan operasi di Taman Ayer Keroh Permai, sejak dua minggu lalu.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan keyakinan usahawan terhadap potensi ekonomi di kawasan Hang Tuah Jaya yang terus berkembang sebagai hab kediaman, pendidikan dan komersial.
“MPHTJ sentiasa mengalu-alukan inisiatif peniaga tempatan untuk membuka premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran kami.
“Usahan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan pra-pelancaran Kafe Gule & Grind di Taman Ayer Keroh Permai, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata kewujudan premis baharu itu dilihat selari dengan perkembangan pesat kawasan MPHTJ yang semakin menjadi tumpuan usahawan.
Jelasnya, kafe tersebut membantu MPHTJ memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan dalam kawasan pentadbirannya.
“Saya harap Kafe Gule & Grind dapat menjadi salah satu lokasi pilihan masyarakat untuk beriadah dan berkumpul dalam suasana selesa serta mesra keluarga,” jelasnya.
Kafe berkenaan tampil dengan konsep moden dan santai, menawarkan pelbagai pilihan minuman kopi serta hidangan ringan yang sesuai untuk pelbagai lapisan umur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


