Sorting by

×

MPHTJ SELESAI LEBIH 2,500 ADUAN DALAM TEMPOH 15 HARI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 24 November – Sebanyak 3,148 aduan diterima Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sejak Januari hingga 12 November tahun ini.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, kesemua aduan yang diterima itu dikumpul oleh Unit Aduan Dan Komuniti yang bertindak sebagai pengantara sebelum ia diselesaikan oleh jabatan teknikal mengikut kategori.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, 2,899 aduan berjaya diselesaikan dan sebanyak 2,556 daripadanya diselesai dalam tempoh hanya 15 hari selepas diterima.

“Sebanyak 2,556 atau 88.17 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 hari sebaik ia diterima, manakala hanya baki 249 aduan masih dalam tindakan.

“Aduan tertinggi peringkat dalaman yang diterima MPHTJ untuk tindakan membabitkan Jabatan Landskap dengan 1,020 aduan, diikuti Penguatkuasaan (753), Jabatan Kebersihan Dan Kesihatan Awam (572), Jabatan Kejuruteraan (432) serta Jabatan Kawalan Bangunan (174),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bagi Bulan November yang berlangsung di Kompleks Melaka Mall, 20 November lalu.

Menurut Sapiah, sebagai tulang belakang MPHTJ, kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diingatkan agar sentiasa mempertingkatkan amalan integriti, ketelusan, kecekapan dan etika dalam pelaksanaan tugas.

“Oleh itu prinsip bersih, cekap dan amanah perlu kembali ditekankan dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam PBT kerana prinsip-prinsip inilah yang dapat mengekang daripada terlibat dengan sebarang salah laku.

“Saya berharap semua warga MPHTJ memberi perhatian dengan frasa ‘saya yang menjalankan amanah’ yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan kerana ia adalah langkah yang dibuat bagi memastikan kita menghayati bahawa segala perintah, tugasan mahupun tanggungjawab merupakan amanah kita,” katanya.

Dalam pada itu, Sapiah turut berharap kakitangan MPHTJ sentiasa bersiap sedia menjalankan arahan dan tugas dengan penghasilan lebih sempurna.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN INKLUSIF, LESTARI PERKASA KEBAJIKAN GOLONGAN SASAR