
MPHTJ TAWAR KONSULTASI PERMOHONAN LESEN SECARA PERCUMA
AYER KEROH 18 Jun – Bagi menggalakkan golongan pemangkin ekonomi menjalankan operasi secara sah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksanakan inisiatif khidmat nasihat dan bimbingan percuma berhubung proses perlesenan perniagaan tanpa perlu membuat janji temu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, inisiatif itu terbuka kepada semua jenis perniagaan tanpa mengira perusahaan besar, peniaga kecil atau penjaja.
Menurut Sapiah, inisiatif berkenaan yang terbuka sepanjang tahun ini juga antara strategi MPHTJ dalam menyantuni komuniti usahawan tempatan selain merakyatkan perkhidmatan ditawarkan.
“Sesi konsultasi dibuka dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, ini adalah peluang terbaik kepada mereka yang ingin menjalankan perniagaan secara sah dengan penerangan khusus diberikan berkenaan tatacara permohonan lesen.
“Kita mahu semua pemangkin ekonomi dalam kawasan MPHTJ beroperasi dengan lesen yang sah. Melalui konsultasi ini, mereka boleh memahami dengan lebih jelas berhubung proses yang perlu dilalui, sekali gus mengelakkan perniagaan mereka daripada berdepan tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya lagi, MPHTJ turut memainkan peranan sebagai pusat sehenti (one-stop centre) kepada pemohon, termasuk memudahkan akses bagi urusan melibatkan agensi-agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Setakat ini pemangkin ekonomi yang menghadiri sesi konsultasi adalah dalam kalangan penjaja dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), MPHTJ mengalu-alukan mereka yang mahu menjalankan perniagaan secara sah, namun kurang jelas tentang syarat serta prosedur.
“Kita menyasarkan 100 peratus pemilik perniagaan dalam kawasan MPHTJ memiliki lesen yang sah,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.