
MPHTJ TIDAK KOMPROMI PREMIS MAKANAN KOTOR
AYER KEROH 11 April – Sebanyak tujuh premis makanan dikenakan kompaun RM2,000 dan diberi notis amaran oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selepas didapati gagal mematuhi syarat patuh lesen dengan mengabaikan kebersihan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, tindakan tegas itu diambil menerusi operasi berkala yang diadakan ke atas premis makanan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, ada di antara premis yang sama didapati telah menerima notis amaran berulang kali namun pemiliknya masih gagal melakukan penambahbaikan, termasuk menyediakan kemudahan asas untuk kebersihan.
“Kesemua premis yang dikompaun dan menerima notis amaran melibatkan sektor makanan dan minuman.
“Kebersihan adalah perkara paling utama dan kita tidak mahu premis makanan menjadi tular kerana kotor, lebih-lebih lagi melibatkan pelancong atau pengunjung luar.
“MPHTJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengendahkan isu kebersihan kerana ia melibatkan kesihatan orang ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, dianggarkan sebanyak 11,000 premis, penjaja kecil yang akan dipantau dalam tempoh setahun oleh penguatkuasa MPHTJ.
“Secara puratanya kira-kira 600 premis termasuk gerai penjaja kecil akan diperiksa setiap bulan bagi memastikan tahap kebersihan premis mengikut syarat patuh lesen.
“Saya menasihatkan semua pengusaha makanan agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya aspek kebersihan bagi mengelakkan risiko keracunan makanan serta imej negatif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


