
MPJ ANJUR ‘ASAL BARANG JADI DUIT’, 16 OGOS INI
JASIN 7 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan menganjurkan Program Santai MPJ: ‘Asal Barang Jadi Duit’ dan Jom Exchange Al-Quran (JEQ) sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, bertempat di Dataran Vista Alamanda, pada 16 Ogos ini.
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, program tersebut merupakan inisiatif dua dalam satu yang menggabungkan kempen kitar semula dan program kesedaran menjaga kesahihan naskhah al-Quran, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh MPJ.
Katanya, program bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu menyasarkan penyertaan warga Jasin serta penduduk sekitar.
“Program ini menyasarkan penglibatan warga Jasin khususnya, dan warga Melaka secara amnya dalam usaha membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan nilai keagamaan.
“Antara pengisian menarik yang menanti pengunjung adalah aktiviti pembelian sisa kitar semula, dengan kadar minyak masak terpakai (RM3.00 sekilogram (kg); E-Waste (RM0.30/kg); Fabrik/tekstil (RM0.05/kg) dan 3R (kertas, aluminium dan lain-lain) yang akan mengikut kadar semasa oleh KITARecycle,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, menerusi Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) membolehkan pengunjung menukar 1 naskhah al-Quran yang lama atau rosak bagi setiap keluarga.
“Selain dapat menukar al-Quran, pengunjung juga boleh menghantar bahan terbitan lain yang mengandungi ayat suci seperti buku Yasin, buku doa, dan buku-buku agama untuk dilupuskan dengan kaedah yang betul.
“MPJ berharap inisiatif ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan menggalakkan kerjasama berterusan dalam menjayakan agenda pembangunan mampan tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.