
MPJ BANGUNKAN KEMUDAHAN REKREASI INKLUSIF, MESRA OKU
JASIN 9 April – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) berhasrat untuk menyediakan lebih kemudahan rekreasi yang mesra orang kurang upaya (OKU) bertujuan memberikan peluang kepada golongan berkenaan untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, menerusi inisiatif itu sudah pasti setiap kemudahan rekreasi yang disediakan nanti menjadi lebih selamat, selesa dan inklusif kerana memberikan faedah kepada seluruh komuniti.
Katanya, penekanan berhubung penyediaan kemudahan mesra OKU itu akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf yang dirancang dilaksanakan di taman perumahan yang berusia lebih 10 tahun.
“Jabatan Landskap dan Perkhidmatan Bandar (JLPB) MPJ sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti kawasan perumahan lama yang memerlukan penambahbaikan, cadangan kemudian dihantar kepada kementerian berkaitan, namun pelaksanaan tertakluk kepada kelulusan peruntukan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Zahiruddin berkata beberapa projek menaik taraf taman permainan telah siap dan akan diserahkan secara berperingkat kepada penduduk.
“Contoh, penyerahan rasmi projek naik taraf taman permainan di Taman Nyalas Permai, Asahan akan diadakan pada 11 April ini dengan pengisian mini karnival, pameran pelbagai agensi dan pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


