
MPJ FOKUS PEMBANGUNAN PELANCONGAN JASIN 2026
JASIN 24 Januari – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan daerah Jasin selari dengan saranan Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Visit Malaysia 2026 (VM 2026).
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat serta penyedia perkhidmatan pelancongan bagi memperkukuh produk pelancongan sedia ada di Jasin.
“MPJ merancang untuk berkolaborasi bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), khususnya melibatkan pembangunan produk pelancongan berasaskan sungai.
“Melalui kerjasama dengan PPSPM, MPJ merancang usaha sama bagi pelaksanaan Cruise Kesang. Projek ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan akan dilaksanakan mengikut keperluan operasi yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Komuniti MADANI MPJ bersempena Sambutan Ulang Tahun Perbandaran Jasin ke-19 di Dataran Vista Alamanda (D’Va) MPJ, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Menurut Muhammad Zahiruddin, Jasin mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan termasuk Tasik Chinchin, Laman Tiga Budaya serta lokasi bersejarah seperti makam, rumah penghulu dan pelbagai lagi.
“Kita akan berusaha menarik minat pelabur berpotensi untuk melabur dalam sektor pelancongan di Jasin bagi meningkatkan daya tarikan daerah ini.
“Selain itu, kita akan menilai semula aspek yang boleh ditambah baik termasuk mempergiat promosi destinasi pelancongan tempatan, penginapan serta produk makanan tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


