Sorting by

×

MPJ GEMPUR KAWASAN ‘PANAS’ LALAT DI SIMPANG BEKOH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 24 Jun – Gangguan lalat membelenggu penduduk sekitar Simpang Bekoh mendapat perhatian Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Kawalan Lalat selama tiga hari berturut-turut bermula 20 Jun lalu.

Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, selepas kajian indeks lalat mendapati bacaan tinggi di beberapa kawasan berhampiran ladang ternakan ayam.

Setiausaha MPJ, Muhammad Zahirruddin Mohd Zahari berkata, kehadiran lalat dalam jumlah luar biasa itu bukan sahaja mengganggu kehidupan harian penduduk malah berisiko menjejaskan kesihatan manusia.

“Justeru, operasi ini dilaksanakan melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Medan Selera Simpang Bekoh, kebun getah, rumah kedai, Klinik Kesihatan Simpang Bekoh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Bekoh.

“Selain itu, antara kawasan lain yang terlibat ialah Taman Bekoh Jaya, Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Kampung Pondok Batang meliputi Taman Melawati, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pondok Batang serta Rumah Awam Pondok Batang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, dua kaedah utama telah digunakan iaitu semburan kabus (fogging) dan kaedah ‘oiling’ bagi mengurangkan populasi lalat secara efektif.

“Operasi ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berperingkat selama tiga hari bagi memastikan kesannya benar-benar dirasai komuniti setempat.

“Tindakan ini juga susulan aduan penduduk yang semakin meningkat, selain hasil pemeriksaan dan operasi terdahulu yang turut disertai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh pada 19 Jun lalu.

“MPJ amat memandang serius isu ini dan akan terus menjalankan pemantauan secara berkala dengan kerjasama PKD Jasin serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut menasihati pemilik premis makanan, pengusaha ternakan serta semua pihak terlibat agar mengambil langkah penambahbaikan termasuk mengamalkan pengurusan sisa dan najis ternakan secara sistematik.

“Isu kawalan lalat bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, tetapi memerlukan komitmen bersama daripada komuniti dan pihak industri dalam mengurangkan punca pencemaran.

“MPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi piawaian kebersihan dan menyebabkan gangguan kepada penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

245
Kongsi :
Previous post MBMB MAHU CARI KESEPAKATAN BERSAMA PENJAJA DALAM ISU ‘EYE ON’
Next post VENICE JADI INSPIRASI PPSPM PERKASA PELANCONGAN AIR MELAKA