
MPJ NOKTAHKAN PENANTIAN PEMOHON BANTUAN BAIK PULIH RUMAH
BEMBAN 1 Julai – Sebanyak empat kediaman selesai dibaik pulih oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menerusi inisiatif Baik Pulih Rumah (PPKB) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata MPJ memperuntukkan RM80,000 secara keseluruhan untuk proses baik pulih empat buah rumah terbabit.
Katanya, selain itu MPJ turut memperuntukkan RM85,000 untuk membina baharu sebuah rumah penduduk yang rosak akibat bencana.
“MPJ memperuntukkan RM20,000 bagi tujuan baik pulih setiap rumah, saya dimaklumkan penerima PPKB ini sudah membuat permohonan sejak lebih lima tahun lalu dan alhamdulillah menerusi WRUR kita bantu untuk merealisasikan impian serta menoktahkan penantian mereka.
“Penerima manfaat PPKB melibatkan ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), kita laksanakan baik pulih dengan kadar segera berikutan kerosakan pada kediaman mereka agak teruk.
“Setiap kerosakan dinilai wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan kos anggaran baik pulih, syukur isu bertahun berlarutan dapat diselesaikan. Selain itu MPJ turut menyampaikan sumbangan barangan elektrik dan kit makanan kepada penerima inisiatif PPKB,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni Penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB) pada Program Sentuhan Kasih MPJ di beberapa lokasi dalam DUN Bemban, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop dan Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata selain daripada MPJ, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Pejabat Daerah Jasin (PDJ) turut melaksanakan pembaikan rumah-rumah dalam DUN Bemban bersempena WRUR ini.
“Ini merupakan usaha dan inisiatif untuk merakyatkan agensi selaras hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu menggagaskan program WRUR supaya tiada golongan yang tertinggal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.