
MPJ TIDAK KETINGGALAN PROMOSI WTD, WTC 2025
JASIN 23 September – Pelbagai aspek kesedaran dilaksanakan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi bersama-sama mempromosikan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, aktiviti promosi WTD dan WTC 2025 dilaksanakan menerusi pemasangan papan iklan, kain rentang serta papan iklan elektronik.
Katanya, MPJ turut memasang papan iklan pantun di beberapa laluan utama seperti Plaza Tol Jasin (Bulatan Parkland), Pekan Umbai, Batang Melaka dan Asahan (sempadan Jementah, Johor) bagi menampilkan imej Melaka sebagai sebuah negeri kaya dengan warisan.
“Sebagai persiapan menyambut WTD dan WTC 2025 kami mempergiatkan hebahan menerusi pemasangan papan iklan (billboard), kain rentang serta ‘lightbox’ khususnya di pintu masuk daerah, negeri selain lokasi tumpuan dalam kawasan pentadbiran MPJ.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan menyambut delegasi asing, tetapi pada masa yang sama meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung penganjuran WTD dan WTC 2025 yang mana Melaka diberi kepercayaan mewakili Malaysia sebagai tuan rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain memberi fokus kepada promosi MPJ juga memastikan persekitaran kawasan pentadbirannya sentiasa dalam keadaan bersih, kemas dan ceria, sekali gus menyedapkan setiap mata yang memandang.
Muhammad Zahiruddin berkata, berikutan itu aktiviti pembersihan, penyelenggaraan dan mengindahkan landskap termasuk dengan menanam pokok hiasan di lokasi strategik diperhebatkan lagi.
“Semua ini bertujuan memastikan Jasin kekal sebagai sebuah daerah yang indah, bersih dan selesa untuk diterokai, aspek ini penting lebih lagi apabila Melaka bakal menerima delegasi antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.