
MPJ TUMPU PEMBANGUNAN BANDAR PINTAR, PERKASA ‘JASIN COMMAND CENTRE’
JASIN 4 Januari – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyasarkan untuk melangkah ke arah pembangunan Bandar Pintar pada tahun 2026 selaras visi MPJ ‘Jasin ke arah Bandar Pintar, Berdaya Huni dan Inklusif’.
Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan adalah menjadikan Jasin sebagai pusat integrasi maklumat bandar pintar.
Katanya, fokus itu termasuk penerapan teknologi digital dalam perkhidmatan perbandaran untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dan memudahkan urusan harian.
“Pusat tersebut akan menggabungkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik serta berkongsi maklumat keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“MPJ juga merancang pemasangan tambahan CCTV dan ‘panic button’ di kawasan awam bagi membolehkan respons pantas sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di pejabatnya di Vista Alamanda, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata seiring menuju ke pembangunan Bandar Pintar, MPJ akan menyediakan dan menyelenggara infrastruktur bandar seperti jalan raya, lampu awam, landskap dan ruang awam.
“Pelbagai penyelenggaraan landskap dan infrastruktur spesifik di sekitar kawasan bandar pada tahun ini akan dilaksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


