
MPJ TUNDA, SITA, LUPUS KENDERAAN TERBIAR
JASIN 5 Jun – Pemilik kenderaan usang atau rosak yang diletakkan di kawasan awam bakal berdepan tindakan tegas termasuk penundaan, sitaan dan pelupusan jika gagal mematuhi notis dikeluarkan pihak berkuasa.
Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, tindakan itu dilaksanakan melalui Operasi Pemantauan Perletakan Kenderaan Usang atau Rosak sebagai langkah menangani masalah kacau ganggu serta risiko kesihatan awam.
“Mana-mana kenderaan tidak dialihkan selepas notis dikeluarkan akan ditunda untuk tujuan siasatan dan sitaan.
“Jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh ditetapkan, kenderaan tersebut akan dilupuskan mengikut garis panduan sedia ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, menerusi operasi itu juga MPJ telah memeriksa sebanyak tiga buah kenderaan yang ditinggalkan di lokasi awam dalam keadaan rosak atau usang.
“Meletakkan kenderaan seperti ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, selain menimbulkan kekhuatiran keselamatan serta kesulitan kepada orang awam.
“Kita menasihatkan semua pemilik agar tidak membiarkan kenderaan terbiar di kawasan awam.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mereka yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa operasi itu akan diadakan secara berterusan di seluruh kawasan pentadbiran MPJ sebagai komitmen pihak untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan teratur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.