Sorting by

×

MTD PROPERTIES FOKUS PEMBANGUNAN MAMPAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 14 Jun – MTD Properties terus mengutamakan pembangunan mampan menerusi penyediaan kediaman mampu milik dan taman perindustrian pintar.

Selaras dengan komitmen itu, syarikat pemaju hartanah terkemuka itu melancarkan dua projek baharu di Ayer Keroh iaitu MTD Nexus 28 Industrial Park dan MTD Elysia Heights sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh di Taman Tasik Utama.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul berkata, pelaburan ini bukan sekadar projek fizikal, bahkan mencerminkan hasrat syarikat untuk menyumbang pembangunan negeri yang lebih lestari, pintar dan berdaya huni.

“Kami mengambil tanggungjawab ini dengan penuh tekad untuk membangunkan produk hartanah yang mampu milik, berkualiti tinggi serta memberikan nilai jangka panjang kepada pemiliknya.

“Ini adalah manifestasi kepada hasrat Kumpulan MTD untuk menyumbang ke arah pembangunan Negeri Melaka selari dengan aspirasi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035)

“MTD Nexus 28 Industrial Park dibangunkan sebagai taman perindustrian moden lengkap dengan sistem pintar dan penyediaan panel solar fotovoltaik (PV).

“Manakala MTD Elysia Heights pula menawarkan konsep kediaman kontemporari untuk gaya hidup selesa dalam persekitaran strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah MTD Nexus 28 Industrial Park serta Pra- Pelancaran MTD Elysia Heights di Pejabat Jualan Metacorp Properties, di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Pengarah Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial, Irmayanti Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Reime Rizal Abdul Aziz dan Ketua Pembangunan Hartanah MTD Properties, Wahidatul Al Fairus Wahid.

Img 20250614 wa0057
SIMBOLIK perasmian majlis disempurnakan oleh Zulkiflee (dua dari kiri).

Dr. Nik Fauzan turut menyatakan bahawa MTD kini giat meneroka potensi pembangunan di kawasan lain termasuk Bangsar dan Taman Sutera di Kajang.

“Setelah berjaya mengembangkan projek-projek ikonik di peringkat antarabangsa seperti di London, Australia dan Filipina, kini fokus kami kembali di tanah air tercinta.

“Ini sebagai sebahagian daripada visi syarikat untuk menerajui pembangunan hartanah berimpak tinggi yang mesra alam dan berorientasikan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post TARIK MINAT SI CILIK KUASAI TULISAN JAWI
Next post CSR CARA TERBAIK DEKATI RAKYAT