Sorting by

×

MURAL CETUS MINAT MURID TERHADAP SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Julai – Mural menggambarkan kehebatan Malaysia bermula dari zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka hingga sekarang menghiasi dinding bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bidara, diharap dapat memupuk dan mencetuskan minat murid terhadap sejarah.

Guru Besar SK Tanjong Bidara, Mohd Nasri Sahat berkata, bukan sekadar pelengkap kepada landskap sekolah, mural itu juga diharap akan menjadikan murid lebih cakna dan meningkatkan lagi semangat ingin tahu mereka terhadap kehebatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, selain itu inisiatif dilaksanakan juga selaras dengan saranan dan kesungguhan ditunjukkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu memartabatkan serta memperbetulkan faktar berkaitan sejarah bangsa.

“Proses menyiapkan mural ini mengambil masa sebulan, alhamdulillah hasil kerjasama semua warga sekolah dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kami berjaya siapkan mural yang tersirat kisah sejarah Melaka dan negara.

“Lokasi mural ini juga strategik kerana terletak berhadapan pintu masuk utama sekolah, jadi ia akan menarik pandangan murid atau pelawat yang datang,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri pada sesi temubual bersama wakil SETARA TVPSS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bidara, di sini, semalam.

Kehadiran Ketua Menteri adalah bertujuan untuk menyokong murid SK Tanjong Bidara yang menyertai Pertandingan Video Kembara Kreatif Peringkat Negeri Dan Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Pelancongan Dan Industri Kreatif’.

Terdahulu, Ketua Menteri turut menandatangani plak sebagai simbolik merasmikan mural berkenaan dan seterusnya melawat sekitar SK Tanjong Bidara.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menganjurkan Pertandingan Sekolah Tercantik dan Pertandingan Mural Sekolah melalui slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ dalam usaha memperkukuh sektor pendidikan serta meningkatkan kualiti pembelajaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post OP LOKOS MBMB, PENDUDUK DIMINTA BERSIH LORONG BELAKANG
Next post JAMBATAN STULANG DAENG-PULAU GADONG DIBINA SEPTEMBER INI