
MUZIUM SEJARAH MELAKA PILIHAN ROMBONGAN SEKOLAH DARI PERLIS
BANDA HILIR 11 Mei – Seramai 83 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad, Perlis memilih Muzium Sejarah sebagai lokasi untuk mendalami subjek sejarah menerusi pendekatan lebih interaktif dan menyeronokkan.
Mereka menyertai Program Kembara Ilmu @Muzium Sejarah Melaka, satu inisiatif Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang bertujuan memberi pendedahan berkenaan sejarah dan warisan negara secara langsung melalui pengalaman pembelajaran luar bilik darjah.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, program ini mengetengahkan konsep pembelajaran berasaskan hiburan sebagai cara untuk menarik minat pelajar dan menjadikan sejarah lebih mudah difahami serta relevan.
“Melalui aktiviti yang disusun secara interaktif dan menyeronokkan, peserta bukan sahaja belajar tetapi turut terlibat secara aktif dalam meneroka sejarah negara.
“Aktiviti yang dijalankan membantu memperkukuh pengetahuan pelajar secara langsung melalui pengalaman, bukan sekadar pembacaan buku teks semata-mata.
“Dengan hanya RM30 seorang bagi penyertaan minimum 40 pelajar, peserta menikmati lawatan berpandu, aktiviti interaktif, sijil penyertaan serta pakej makanan pagi dan tengah hari,” katanya.
Mengulas lanjut Erne berkata PERZIM amat mengalu-alukan penyertaan daripada sekolah-sekolah lain untuk turut serta dalam program ini.
“Proggram ini terbukti mampu menjadikan sejarah lebih hidup dan bermakna dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.