
NABILA RAZALI GAMATKAN RAYA DI TELOK MAS
TELOK MAS 4 April – Persembahan penyanyi popular Nabila Razali menjadi penyeri Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang memukau ribuan pengunjung.
Suasana gamat dan penuh meriah elas dirasai apabila hadirin turut sama menyanyikan lagu popular pelantun lagu Tak Sabar Nak Raya dan Peluang Kedua itu.
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr Asmah Abd Rahman yang tiba kira-kira jam 8.40 malam.
Beliau tampil segak mengenakan busana baju Melayu berwarna merah, sepadan dengan busana Aidilfitri yang digayakan Toh Puan Dr Asmah.
Turut bersama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz yang turut memeriahkan majlis dalam suasana harmoni.

Ketibaan kenamaan disambut Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama isteri selaku tuan rumah majlis tersebut.
Terdahulu, perkarangan tapak majlis dibanjiri orang ramai sebaik bermula pada jam 8 malam.
Pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu berbilang kaum yang hadir.
Pada majlis sama, turut diadakan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik tiga tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, sekali gus menambah makna kepada sambutan Aidilfitri yang diraikan bersama rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


