Sorting by

×

‘NADI’ TAPAK LAHIRKAN USAHAWAN DIGITAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KESIDANG 14 Mei – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjadi antara platform penting dalam melahirkan ramai usahawan digital di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, kemudahan yang terdapat di setiap NADI di negeri ini cukup lengkap dan perlu dimanfaatkan usahawan sama ada kecil atau sederhana memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 758 orang komuniti dari seluruh Melaka telah mengikuti pelbagai program keusahawanan yang disediakan NADI sejak September tahun lalu.

“Saya percaya dengan adanya NADI ini kita akan melahirkan lebih ramai usahawan e-dagang dan e-usahawan. Malah dengan kemudahan 20 komputer riba ataupun komputer ia juga boleh dijadikan lokasi pembelajaran kepada mereka yang ingin menjadi usahawan.

“Justeru itu, kewujudan NADI di kawasan ini bukan sekadar membuka pintu kepada akses internet tetapi lebih daripada itu termasuk tempat menjana peluang ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian NADI Kampung Padang, Pokok Mangga, yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, meminta pemimpin setempat untuk membantu kerajaan dalam menghebahkan fungsi dan manfaat NADI kepada masyarakat.

Jelas beliau, promosi dan hebahan meluas perlu bagi memastikan NADI dapat terus beroperasi dan memberi manfaat kepada rakyat, bukannya sepi tanpa pengunjung.

“Saya ingin menyeru kepada semua pemimpin tempatan dan penduduk setempat terutamanya di sekitar Kampung Padang untuk menghebahkan fungsi dan manfaat NADI ke segenap lapisan masyarakat.

“Ambillah peluang yang ada ini dengan terbabit atau ambil bahagian dalam program yang ditawarkan. Kita sama-sama bentuk komuniti celik digital.

“Seperti semua sedia maklum internet pada hari ini bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan asas kehidupan moden malah trend peralihan ke arah digital juga semakin rancak dan kita mahu pastikan komuniti tidak ketinggalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post SEMBILAN ANGGOTA FRU MAUT DALAM KEMALANGAN DIKENAL PASTI
Next post NASI LEMAK CARA MELAKA BAKAL GAMIT PELANCONG