
NAIK TARAF MAJLIS TVET NEGARA KEPADA SURUHANJAYA TVET NEGARA
AYER KEROH 12 Jun – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dicadangkan untuk dinaik taraf kepada Suruhanjaya TVET Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara,berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh tadbir urus, penyelarasan dan pelaksanaan dasar TVET secara lebih menyeluruh, holistik serta berwibawa.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata usaha itu secara tidak langsung akan meletakkan TVET sebagai teras pembangunan insan negara.
“Saya ingin mencadangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,agar Majlis TVET Negara dinaik taraf menjadi Suruhanjaya TVET Negara.
“Insya-Allah, dengan langkah ini, kita bukan sekadar memperkukuh struktur, tetapi mengangkat kemahiran sebagai kekuatan bangsa dan membuka jalan masa depan buat jutaan anak muda Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Ahli-Ahli Jemaah Menteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan-Timbalan Menteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata usaha memperkasa TVET tidak boleh digalas oleh Kerajaan semata-mata dan ia menuntut komitmen bersama.
“Apa yang kita bangunkan hari ini bukan sekadar sistem latihan, tetapi satu agenda nasional dan TVET adalah medan pembangunan insan, benteng ekonomi dan harapan generasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.