
NAIK TARAF PERSIMPANGAN BUKIT RAMBAI BERMULA 2026 – EXCO
SERI NEGERI 10 Disember – Persimpangan Tiga Pekan Bukit Rambai yang dikenal pasti sebagai kawasan aliran trafik tinggi bakal dinaik taraf pada tahun depan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer berkata, persimpangan itu menghubungkan Jalan Bukit Rambai dan Jalan Tangga Batu.
“Persimpangan berkenaan turut menampung trafik keluar masuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai serta Taman Datin Fatimah yang tinggi menyebabkan persimpangan ini sering sesak pada waktu puncak.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka telah menyenaraikan projek menaik taraf persimpangan ini bawah peruntukan tahun 2026, melibatkan kos RM800,000.
“Permohonan itu telah diangkat kepada Kerajaan Negeri untuk proses kelulusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN–Klebang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Hameed, pelaksanaan projek menaik taraf persimpangan dan lampu isyarat ini dijangka dapat menyuraikan kesesakan serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


