Sorting by

×

NAIK TARAF TAMAN EKO RIMBA SUNGAI UDANG UNTUK KESELESAAN PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 22 Julai – Sejumlah RM150,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja naik taraf dan penyelenggaraan di Taman Eko Rimba Sungai Udang.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah peruntukan itu melibatkan kerja naik taraf Taman Etnobotani dan pembersihan kolam dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

Hameed berkata, kawasan rekreasi terletak dalam Kawasan Hutan Simpan Sungai Udang adalah di bawah tanggungjawab dan pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka serta tiada bajet khusus secara tahunan.

“Namun begitu sekiranya melibatkan kerja-kerja naik taraf atau penyelenggaraan, peruntukan pembangunan (P16) akan dimohon mengikut keperluan semasa.

“Bagi 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi menaik taraf kawasan Taman Eko Rimba Sungai Udang termasuk Taman Etnobotani serta kerja-kerja pembersihan kolam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai tindakan Kerajaan Negeri untuk baik pulih bangunan terbiar dan fasiliti rosak di Taman Reakrasi Hutan Simpan Sungai Udang, Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Hameed, fasiti disediakan untuk pengunjung seperti surau, tandas dan dewan terbuka tidak dapat digunakan berikutan masalah persempadanan iaitu terletak di luar kawasan Taman Eko Rimba Sungai Udang.

“Meskipun begitu tindakan sudah diambil dengan pembinaan tandas baharu dan fasiliti lain telah diselenggarakan untuk kemudahan pengunjung.

“Pada 2024 juga peruntukan sebanyak RM250,000 diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi pembinaan tandas baharu bagi menggantikan tandas lama yang uzur dan tidak digunakan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post PANTAU TIGA PENYAKIT BERISIKO AKIBAT JEREBU
Next post CAPTAIN CRUISE ‘PENGHUBUNG’ ANTARA GENERASI MUDA DAN WARISAN MARITIM NEGARA