Sorting by

×

NAJIB TERHARU, RUMAH AYAH LEBIH SELESA DAN ‘BERWAJAH BAHARU’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 11 Februari – “Meskipun ayah tidak meluahkan, namun riak wajahnya menunjukkan dia gembira apabila melihat keadaan rumah yang berwajah baru,” itu kata Mohd Najib Husin, 40.

Katanya, kediaman milik bapanya Husin Sulaiman, 77, kini lebih selesa untuk didiami selepas selesai dibaik pulih menerusi Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Karnival Demi Paya Rumput.

Menurut Mohd Najib, dia tidak menyangka kediaman dihuni bersama ayah dan abang sulungnya Suhaimee Husin, 47,  ‘bertukar wajah’ selepas melalui kerja baik pulih dan gotong-royong dilaksanakan kakitangan Jabatan Pengurusan Korporat Dan Komuniti MBMB.

“Saya sendiri amat gembira melihat keadaan rumah yang selesa, kemas dan bersih ia seakan kediaman baharu apatah lagi ayah yang juga sangat bersyukur.

“Selain itu kami turut menerima beberapa kelengkapan serta perabot rumah baharu dan ini cukup bermakna kerana kalau ingin membelinya sendiri saya memang tidak mampu,” katanya.

Anak ketiga dari lima beradik itu ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin sempena Program Bandaraya Penyayang MBMB dan turut hadir Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, di kediamanya di Kampung Paya Rumput Permai, semalam.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan MBMB itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat setempat.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat kerana begitu prihatin dan cakna terhadap kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Sempena Karnival Demi Paya Rumput, sebanyak dua buah rumah terpilih untuk dilakukan kerja baik pulih, pembersihan selain turut diberi sumbangan peralatan elektrik, kelengkapan rumah dan wang tunai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post NOSTALGIA TIGA DEKAD, PASAR MALAM TAMAN BERTAM JAYA TERUS ‘HIDUP’
Next post YB RAIS PRIHATIN NASIB RAKYAT BERBILANG KAUM