
NASI KANDAR RM10 DI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 29 Mei – Restoran Nasi Kandar Pelita Melaka bersedia menyahut saranan Kerajaan Negeri untuk menjadi cawangan pertama yang menawarkan menu istimewa pada harga hanya RM10.
Menu yang ditawarkan restoran yang memiliki cawangan ke-30 itu akan diadakan sekali setiap bulan bagi merancakkan lagi Program Melaka Bila Larut Malam.
Pengerusi Eksekutif Pelita Samudera Pertama (M) Sdn. Bhd, Dato’ Shamsuri Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika merasmikan restoran berkenaan, semalam.
“Kita setuju menawarkan menu nasi kandar RM10 atas cadangan Ketua Menteri yang berhasrat membantu golongan B40 untuk menikmati hidangan nasi kandar pada harga yang mampu milik,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, menu yang terdiri daripada nasi, ayam, sayur dan air itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Melaka.
“Meskipun suasana Melaka tidak semeriah Lembah Klang, namun sektor pelancongannya sangat kuat.
“Kita yakin kunjungan pelancong yang semakin meningkat ke negeri ini mampu memberi pulangan yang memuaskan,” ujarnya.
Terdahulu pada perasmian berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri, pihak restoran turut menyediakan nasi kandar percuma kepada 5,000 pengunjung yang hadir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.