
NORSAADAH LINCAH TUNGGANG JET SKI
TANJUNG BIDARA 15 September – Menjaga aurat dari hujung kepala hingga ke hujung kaki termasuk berniqab langsung tidak membataskan kelincahan Norsaadah Mazlan, mengendalikan jet ski berkuasa tinggi.
Norsaadah berkata, menunggang jet ski memberikan satu kepuasan buat dirinya, berikutan itu dia tidak boleh berhenti daripada terus aktif dalam sukan lasak itu meskipun sudah berniqab.
“Sebenarnya saya baru sahaja berniqab, niat mahu menjaga aurat tidak menghalang saya aktif dalam sukan lasak ini, ada caranya seperti pilih pakaian bersesuaian dengan aktiviti yang mahu dilakukan.
“Saya memang minat sukan lasak, selain menunggang jet ski saya juga aktif dalam aktiviti ‘hiking’ dan perkhemahan.
“Sekarang ini bagi saya setiap kali mahu menunggang jet ski aurat menjadi keutamaan atau ‘aurat first’ kemudian diikuti aspek keselamatan ‘safety first’ termasuk memakai jaket keselamatan sepanjang di laut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada program mempromosikan sukan lasak itu bersempena penganjuran Pesta Tanjung Bidara 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.
Katanya, dia mendapat pendedahan mengenai teknik menunggang dan mengendalikan jet ski daripada bapanya yang juga penggiat sukan lasak itu Sejak lebih 10 tahun lalu.
“Pada mulanya saya cuma teman ayah bermain jet skit atau menyertai pertandingan, tetapi lama kelamaan mula minat. Sejak itu saya timba pengalaman untuk menjadi lebih mahir dalam aspek mengendalikan jest ski yang bagi sesetengah orang dianggap sebagai jentera berkuasa tinggi di laut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.