Sorting by

×

NTW 2025: PELUANG MASYARAKAT LUAR BANDAR MELAKA TINGKAT KEMAHIRAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BEMBAN 20 Jun – Program Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (NTW 2025) yang sedang berlangsung 14 hingga 21 Jun ini menyumbang impak yang besar kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan luar bandar.

NTW 2025 merupakan satu inisiatif utama untuk meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran kemahiran tanpa sempadan untuk segenap lapisan masyarakat.

Pengarah Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, inisiatif pelbagai agensi menganjurkan NTW itu nyata memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati penawaran akses pembelajaran secara percuma bagi merangsang proses pembelajaran berkualiti.

“Rangkaian kerjasama bersama HRD Corp selaku peneraju utama dan juga pihak lain menjadi satu platform bagi menghubungkan tenaga kerja dengan pemimpin industri, pendidik dan sumber pembelajaran.

“Kita melihat bahawa inisiatif seumpama ini dapat menggalakkan proses pembelajaran dalam kalangan masyarakat setempat khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman juga turut sama dapat memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat serta peningkatan kemahiran berasaskan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni Program CSR Kursus Pendek NTW yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Seri Bemban, baru-baru ini.

Program NTW yang diadakan di SMK Seri Bemban itu melibatkan kursus pendek asas perisian Microsoft Word yang melibatkan 5 orang tenaga pengajar dan pelajar tingkatan 4 SMK Seri Bemban bermula pada 16 sehingga 18 Jun lalu.

Program itu juga melibatkan usaha sama di antara KKJS serta OK Computer Solution Sdn Bhd (Industry on Campus) dan pihak sekolah.

Dalam pada itu, Sr. Mohamad Kelana berkata, model hibrid yang diperkenalkan melalui NTW yang menggabungkan sesi secara bersemuka dan dalam talian juga dilihat sangat berkesan bagi memperkasakan masyarakat dengan peluang pembelajaran yang lebih dinamik.

“Program NTW yang dilaksanakan secara hibrid lebih memudahkan masyarakat setempat untuk menyertai latihan yang bersesuaian dengan bidang yang mereka ceburi.

“Latihan intensif menerusi NTW juga secara tidak langsung akan membentuk status masyarakat yang berdaya saing dan sentiasa bersedia dengan cabaran masa hadapan khususnya perubahan yang berlaku dalam perkembangan teknologi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post WWF-MALAYSIA DIDIK PELAJAR LINDUNGI HIDUPAN LIAR TERANCAM
Next post AMBULANS TERBALIK, PEMBANTU PERUBATAN CEDERA