Sorting by

×

NTW@PRISON: BUKA SINAR BAHARU BUAT PENGHUNI TIRAI BESI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JASIN 22 Jun – Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 membuktikan ia memberi manfaat secara meluas bukan sahaja kepada golongan pekerja, bahkan penghuni penjara.

Ia menerusi penganjuran NTW@Prison: ‘Kembali Bersinar’ yang dianjurkan Pusat Koreksional Jasin pada Jumaat.

Program itu membabitkan seramai 50 penghuni penjara atau dikenali sebagai prospek dalam usaha memberi peluang kedua melalui pendidikan dan motivasi kendiri.

Wakil HRD Corp Melaka Khairul Anuar Rahman berkata, selain menyediakan platform pembelajaran secara percuma untuk semua rakyat Malaysia, tahun ini HRD Corp turut memberi fokus kepada golongan rentan seperti masyarakat Orang Asli dan prospek, yang sering kurang diberi perhatian dalam pembangunan modal insan.

“Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran, menyokong proses pemulihan semasa berada di institusi serta menggalakkan persiapan awal sebelum bebas,” katanya.

Antara pengisian utama program tersebut adalah sesi motivasi bertajuk ‘Mencari Erti Kehidupan’ yang disampaikan kaunselor dari Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) Noriza Hussain.

Menurut Noriza, sesi tersebut memberi peluang kepadanya menyumbang tenaga membantu banduan membina semula kehidupan mereka dengan lebih bermakna setelah kembali ke masyarakat kelak.

Sementara itu, seorang peserta, Din (bukan nama sebenar), meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program tersebut.

“Saya harap program seperti ini dapat membantu saya dan rakan-rakan lain berubah dan tidak kembali kepada tabiat lama,” katanya.

Terdahulu, majlis penutup NTW@Prison telah dirasmikan Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Jasin, Penguasa Penjara Mohd Rehan Khamis, yang turut menyatakan penghargaan kepada HRD Corp dan ICYM di atas usaha mengadakan program pembangunan insan ke dalam institusi koreksional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post POLITEKNIK MERLIMAU TUAN RUMAH ‘PIALA DUNIA ROBOT’ 2025
Next post WRUR DUN BEMBAN, FOKUS SELESAIKAN ADUAN RAKYAT DALAM DUA MINGGU