
OMSMC RAI SEMANGAT KEBERSAMAAN SEMPENA RAMADAN
BANDARAYA MELAKA 17 Mac – Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC) menyemarakkan suasana bulan Ramadan dengan menganjurkan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan rakan niaga, pengamal perubatan am, wakil pihak berkuasa tempatan, syarikat insurans, pelanggan korporat serta rakan media.
Majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kampung Bukit Cina itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kerjasama sambil meraikan semangat kebersamaan sempena Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif OMSMC, Lee Soon Teck dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada para rakan strategik yang telah menyumbang kepada perkembangan hospital.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, OMSMC telah mencapai beberapa pencapaian penting yang mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan.
“Pada awal tahun ini, OMSMC turut disenaraikan antara Asia’s Top Private Hospitals oleh Newsweek dan Statista.
“Selain itu, OMSMC juga terus memperkukuh pasukan pakar bagi memenuhi keperluan kesihatan masyarakat yang semakin berkembang. Antara pakar yang baru menyertai hospital ini termasuk Pakar Perubatan Geriatrik Dr. William Lee Wei Kiat, Pakar Perubatan dan Nefrologi Dr. Yeoh Hung Yew, Pakar Perubatan Respiratori Dr. Lo Shan Min, Pakar Bedah Am dengan minat khusus dalam pembedahan Gastrointestinal Atas Dr. Muhammad Haekal Khazalle, serta Pakar Bedah Am dan Kolorektal Dr. Jothinathan Muniandy.
“Pusat Pergigian OMSMC juga akan menerima Pakar Pergigian Kanak-kanak Dr. Ashwini M. Madawana yang memulakan perkhidmatannya pada 15 Mac 2026,” katanya.
Menurut Lee, walaupun persekitaran global semakin mencabar dengan peningkatan kos perubatan, OMSMC tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampan.
“Dalam landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah, kami akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kewangan yang berhemat serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan OMSMC tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada rakan-rakan strategik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


